7 OGOS: Lima lagi ahli parlimen pembangkang memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur, semalam berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Delihan Yahaya berkata mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai) dan Gobind Singh Deo (Puchong).
Pada 4 Ogos lepas enam ahli parlimen pembangkang hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan, manakala semalam tiga lagi turut berbuat demikian.
Isnin lepas, ahli parlimen pembangkang cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.