7 OGOS: Tindakan beberapa menteri dari UMNO meletakkan jawatan ketika Malaysia sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19 akan mengganggu proses Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemimpin kini seharusnya mendokong segala usaha yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, ini perlu bagi memastikan segala permasalahan yang berpunca daripada wabak COVID-19 dapat diselesaikan.
“Maka, sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada kerajaan membuktikan fokus utama sekarang adalah untuk menstabilkan politik dan ekonomi, memerangi COVID-19, mencapai imuniti kelompok serta mensejahterakan kehidupan rakyat.
“PAS menyeru agar ahli-ahli Parlimen yang lain turut bersama dan bersatu padu mendukung usaha Pelan Pemulihan Negara. Keadaan sekarang bukan masa untuk berpecah-belah,” katanya pada satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasmi PAS, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad, mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu menjadikan Noraini Menteri Kabinet dari UMNO yang meletakkan jawatan selepas Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mengundurkan diri daripada jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, susulan tindakan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen UMNO yang kekal memberi sokongan padu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN.
“Kita sedia maklum sekurang-kurangnya tiga orang ahli Parlimen UMNO sedang menggalas tugasan penting dalam PPN.
“Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Sekiranya berlaku peletakan jawatan, maka proses pemulihan negara akan terganggu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH