7 OGOS: Singapura akan menyambung semula proses kelulusan masuk kepada pemegang pas kerja dan tanggungan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara serta wilayah berisiko tinggi bermula Selasa ini.
Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai COVID-19, langkah tersebut dibuat kerana republik itu sudah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi, namun pemegang pas kerja yang layak dan tanggungannya mestilah sudah lengkap divaksin sebelum tiba di Singapura.
Seseorang itu hanya dianggap lengkap divaksin selepas dua minggu menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty), Moderna atau yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pada Mei, Singapura mengumumkan tidak menerima permohonan kemasukan baharu bagi pemegang pas kerja dari negara dan wilayah berisiko tinggi, kerana peningkatan kes COVID -19 di beberapa negara dunia.
Pengerusi Bersama MTF Lawrence Wong semalam menjelaskan, pemohon bagaimanapun perlu mematuhi protokol kesihatan ditetapkan Singapura.
“Oleh kerana kita telah mencapai tahap liputan vaksin yang lebih tinggi, kita akan mula menyesuaikan peraturan sempadan dan akan menyambung semula proses kelulusan masuk untuk pemegang pas kerja yang lengkap divaksin dan bergantung kepada syarat SHN (Notis Tinggal di Rumah) yang ada,” katanya.
Setakat 5 Ogos, 67 peratus rakyat Singapura telah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan dan ia dijangkakan meningkat ke 70 peratus menjelang 9 Ogos ini.
Wong yang juga Menteri Kewangan memberitahu, mulai 20 Ogos, Singapura akan membenarkan lebih ramai pengembara yang lengkap divaksin dari beberapa negara tertentu untuk memilih sama ada dikuarantin 14 hari di kemudahan khas SHN atau di rumah dan penginapan lain yang sesuai.