7 OGOS: Kepemimpinan tertinggi UMNO yang berusaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tindakan tidak matang dan amat merugikan bangsa serta negara.
Penganalisis Politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, UMNO seharusnya memberikan kepercayaan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan pemimpinnya dalam gabungan PN untuk menerajui negara.
Bagaimanapun, menurut beliau, sebahagian daripada pimpinan UMNO dilihat ingin menjadi ‘hero’ politik tanah air semata-mata bagi mengekalkan status kekuasaan, pengaruh dan kepentingan peribadi walaupun perbincangan secara muafakat dalam gabungan PN boleh dilakukan.
“UMNO perlu bekerjasama dan bersatu demi kemaslahatan rakyat serta negara yang berdepan dengan situasi COVID-19 ketika ini.
“Dalam situasi sekarang, saya tidak nampak UMNO secara keseluruhan menolak PN tetapi ia adalah tindak balas daripada sikap diktator Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempengaruhi kepemimpinan UMNO yang lain.
“Sikap seperti ini adalah amalan yang tidak subur dalam sistem demokrasi yang akhirnya membawa kepada perpecahan UMNO itu sendiri dan tidak setia kepada janji Muafakat Nasional,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad, mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu menjadikan Noraini Menteri Kabinet dari UMNO yang meletakkan jawatan selepas Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mengundurkan diri daripada jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, susulan tindakan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 Ogos lalu.
Justeru, Hussain menasihatkan UMNO agar tidak mengulangi krisis dalaman dan mengambil iktibar daripada kes-kes sebelum ini seperti pemecatan pimpinan tertinggi, pergelutan dalaman, penentangan daripada pimpinan dan lain-lain sejak penubuhannya pada tahun 1946.
Beliau yang juga merupakan Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa, UniSZA berkata, kejayaan UMNO pada masa akan datang perlu mengambil kira isu-isu integriti, personaliti dan individu tertentu yang hangat diperkatakan sekarang.
“UMNO merupakan parti Melayu terbesar dan mempunyai sejarah yang panjang memerintah Malaysia sehinggalah tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sejarah tersebut sepatutnya dijadikan pengajaran untuk menimbang semula tindakan dengan situasi politik dan kematangan rakyat pada era ini.
“Rakyat Malaysia telah matang dan anak-anak muda boleh menilai kepimpinan terbaik sekarang jika pimpinan politik masih tidak berubah dengan cara lama,” katanya.