7 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan meminda Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) bagi memberi kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengedar dan memasarkan komoditi ternakan dalam pasaran negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cadangan pindaan yang akan dibawa ke sidang Parlimen terdekat itu juga akan memperluaskan skop FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya yang luas.
“Buat masa ini, Akta 141 mempunyai bidang kuasa yang terhad yang mana tafsiran keluaran pertanian (agricultural produce) dalam seksyen 1A hanya memperuntukkan keluaran pertanian tertentu dan tidak termasuk komoditi ternakan.
“FAMA akan mengambil peranan untuk turut mengedarkan komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan bagi komoditi berkenaan dalam memastikan bekalan ternakan sentiasa berada di dalam pasaran.
“Ini juga akan dapat memastikan rantaian bekalannya tidak terganggu memandangkan ketika ini tiada agensi khusus yang menjalankan aktiviti pemasaran ternakan,” katanya menerusi kenyataan selepas meninjau pelaksanaan kerja-kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan di Pejabat FAMA Negeri Sabah, hari ini.
Dalam program itu juga, Dr Ronald juga telah menyerahkan bantuan MAFI Prihatin FAMA hari ini kepada 250 orang usahawan pemasar FAMA di Pejabat FAMA Negeri Sabah.
Dalam pada itu, Dr Ronald memaklumkan MAFI melalui FAMA sentiasa memberikan perhatian khusus terhadap aspek pemasaran keluaran hasil pertanian selaras dengan penekanan yang akan diberikan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi memperkukuh akses pasaran bagi hasil keluaran permintaan tinggi dan berorientasikan eksport.
“Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA sebegini adalah antara usaha untuk mewujudkan satu rantaian pemasaran yang lengkap dan teratur serta sebagai kemudahan untuk usahawan-usahawan tani untuk memproses hasil keluaran mereka
dan seterusnya di hantar ke Semanjung Malaysia atau dieksport,” katanya.