7 OGOS: UMNO mempertahankan keputusan penangguhan pemilihan UMNO berikutan perkara itu adalah kuasa mutlak Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan hanya perlu dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan perlembagaan UMNO, maka isu yang dibangkitkan RoS yang berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2020 tamat pada 30 Jun lalu adalah tidak lagi berbangkit.
“UMNO menegaskan bahawa berdasarkan rentetan kronologi surat-menyurat antara parti dan RoS, maka wujud satu harapan yang sah untuk menangguhkan pemilihan parti.
“Justeru, UMNO berharap polemik antara pihak UMNO dan RoS dapat diselesaikan, ditambah lagi COVID-19 yang tinggi mencecah sekitar 20,000 kes menambah kesukaran mesyuarat pemilihan diadakan dengan penglibatan 3.3 juta ahli dan 66,287 mesyuarat di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
Semalam, RoS memaklumkan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan MT, Bahagian dan Cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah apabila keputusan dibuat oleh kepimpinan itu dibuat pada 7 Julai lalu sedangkan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun.
Perkembangan itu menyaksikan kedudukan pemimpin parti itu tergantung sekali gus mengundang pelbagai persoalan membabitkan keputusan dibuat MT baru-baru ini.
Ahmad menjelaskan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesyorkan bahawa sekiranya pemilihan secara maya adalah tidak dapat dilaksanakan, maka penangguhan patut dibuat untuk mengekang penularan wabak COVID-19.
“Pandangan pihak RoS, MKN dan KKM telahpun dimaklumkan kepada Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi.
“Seperti pihak RoS sedia maklum, MKT telahpun membuat keputusan menangguhkan pemilihan untuk tempoh 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO melalui surat UMNO kepada pihak ROS bertarikh 24 Jun 2021.
“MKT telah membuat keputusan secara majoriti melalui resolusi pekeliling dan dalam menjalankan kuasanya menurut Fasal 10.16 yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021,” katanya.
Tambahnya, keputusan itu telah dibuat berdasarkan suara majoriti dan pihak ROS juga telah memperakui penerimaan surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021 yang antara menyatakan bahawa pihak RoS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti UMNO dan keputusan ini adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.