7 OGOS: UMNO Sabah tetap mengekalkan pendiriannya untuk terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
UMNO Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya turut menyatakan harapan agar pendirian itu dihormati semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri Sabah.
Kenyataan itu memaklumkan mandat yang diberikan rakyat kepada UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.
“Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa juga keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah.
“Oleh itu, UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal dan menyokong GRS di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Dalam pada itu, UMNO Sabah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua utama negara agar semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
“Seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepemimpinan dan ahli UMNO Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada raja-raja Melayu.
“Semua juga berikrar untuk terus mendukung serta memayungi Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri,” katanya.