9 OGOS: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Siti Sarah Raissuddin, bintang seni tanah air yang telah kembali ke Rahmatullah pada jam 5.13 pagi, hari ini.
Baginda berdua juga menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” titah baginda berdua dalam satu kenyataan dikongsi di Facebook Istana Negera di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan Siti Sarah, 36, meninggal dunia awal pagi tadi selepas beberapa hari dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19.
Berita sedih dimaklumkan sendiri oleh suaminya Shuib dalam hantaran di Instagramnya yang memberitahu Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Shuib dalam ketika ditemui pemberita berkata redha dan berlapang dada menerima ketentuan bahawa sudah sampai masanya isteri tercinta, Siti Sarah kembali ke pangkuan Allah.
Bagaimanapun, Shuib yang juga pelawak dan ushawan masih belum mempunyai kekuatan untuk berkongsi berita sedih itu dengan tiga orang anaknya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, dia hanya akan berbuat demikian sekembalinya ke rumah sebaik selesai urusan pengebumian Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
“Buat masa ini anak-anak saya belum tahu, isteri saya baru dikebumikan dan saya baru nak beritahu anak-anak,” katanya.
Allahyarham meninggalkan suaminya, Shuib dan empat lagi anaknya termasuk bayi lelakinya Ayyash Affan yang baru dilahirkan pada Jumaat lalu.
Bayi yang baru dilahirkan Allahyarham diberi nama Ayash Affan dan kini masih ditempatkan di HTCM.
Dalam perkembangan sama, Shuib merakamkan terima kasih kepada semua kenalan serta seluruh anggota masyarakat yang tidak putus-putus mendoakan arwah isterinya yang bertarung nyawa sejak beberapa hari lalu.
“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bersusah payah untuk isteri saya sepanjang berlaku kejadian ini. Saya ucapkan terima kasih atas usaha solat hajat atas arwah isteri saya.
“Hanya Allah dapat membalas budi itu, saya balik nanti saya doakan kalian semua diberkati dilindungi dan dirahmati. Maafkan isteri saya, sedekahkan dia al-Fatihah banyak-banyak,” katanya.