9 OGOS: Kebanyakan individu yang menerima suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 keluaran Pfizer mengalami kesan sama seperti suntikan kedua.
Penelitian itu berdasarkan ujian dos ketiga yang di Israel sejak 10 hari lalu kepada individu berusia 60 tahun ke atas sebelum diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).
Penyedia penjagaan kesihatan terbesar Israel, Clalit, semalam berkata, pihaknya sudah memberikan dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech kepada lebih 240,000 orang.
Kira-kira 4,500 orang yang menerima suntikan ‘penggalak’ antara 30 Julai dan 1 Ogos memberi maklum balas terhadap soalan diberikan dan dimasukkan dalam tinjauan terbabit.
Kira-kira 88 peratus responden mengatakan selepas beberapa hari menerima dos ketiga, mereka merasai kesan serupa atau lebih baik berbanding ketika suntikan dos kedua.
Sementara itu, kira-kira 31 peratus lagi melaporkan beberapa kesan sampingan dengan yang paling biasa adalah sakit di tempat suntikan.
Dalam pada itu, kira-kira 0.4 peratus mengatakan mereka mengalami kesukaran bernafas, dan satu peratus melaporkan mereka mendapatkan rawatan perubatan berikutan satu atau lebih kesan sampingan.
Ketua Pegawai Inovasi Clalit, Ran Balicer, berkata meskipun keputusan adalah berdasarkan ‘tinjauan awal dan laporan sendiri’ mereka membenarkan perbandingan kesan sampingan dengan dos kedua dan ternyata dalam kebanyakan kes, kesannya sama atau kurang dalam dos suntikan penggalak.
“Walaupun kami belum memiliki kajian jangka panjang mengenai keberkesanan dan keselamatan dos penggalak, bagi pengurusan risiko peribadi terhadap individu berusia 60 tahun ke atas, penemuan ini terus menunjukkan manfaat imunisasi seiring dengan langkah berjaga-jaga dalam kalangan dewasa serta mengelakkan berkumpul di tempat tertutup,” katanya.