9 OGOS: Polis merakam keterangan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berhubung pembabitan mereka dalam perhimpunan haram di Dataran Merdeka di ibu negara, pada 2 Ogos lalu.
Berikutan itu, empat pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengambil masa satu jam setengah untuk merakam keterangan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah itu di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, dua kenderaan yang membawa pegawai polis Bukit Aman berkenaan dilihat memasuki pekarangan YKP, kira-kira jam 1.54 petang tadi.
Tidak lama kemudian, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dilihat masuki YKP pada jam 1.54 petang dan diikuti kenderaan membawa Mukhriz pada jam 2.07 petang.
Kira-kira 20 minit selepas itu kereta jenis Lexus berwarna hitam membawa Mahathir kemudiannya dilihat memasuki pekarangan YKP.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung isu sama.
Antaranya ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu); Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena); Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai) dan Gobind Singh Deo (Puchong).
Dalam pada itu, peguam Dr Mahathir dan Mukhriz, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu wakil media massa bahawa Dr Mahathir dan Mukhriz dua akta sama iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Pada hari ini antara jam 2.45 hingga 3.30 petang, empat orang pegawai polis dari Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman hadir di YKP, berkaitan satu siasatan mengenai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.
“Ketika sesi memberikan keterangan kepada pihak polis itu, mereka memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyatakan akan menjawab segala pertuduhan apabila hadir di mahkamah,” katanya.