9 OGOS : Negara terdedah kepada kelemahan dan kepincangan apabila rakyat dan pemimpin mereka saling bercakaran yang dilihat seperti tidak berkesudahan.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, negara aman dan maju apabila rakyatnya berkasih sayang dan bersatu padu namun pertelingkahan terbuka tanpa gelanggang ini pasti membawa padah.
“Menang jadi arang, kalah jadi abu. Inilah realiti berakhirnya sebuah perbalahan sesama ummat. Awalnya untuk menegakkan agenda perjuangan masing-masing, namun gagal mengesan pergerakkan musuh yang mencuri peluang dan memanfaatkan ruang yang retak antara kita.
“Saya faham, kita berbeza idea, pandangan, pendekatan dan sebagainya tetapi bukankah kita juga masih ada rasa kasih pada agama dan negara,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook Al Bayaanul Mubin, hari ini.
Dalam pada itu, Nasrudin memaklumkan musuh yang akan mengaut keuntungan sebebasnya bak kata bidalan orang berpengalaman, alu dan lesung berlaga antara satu sama lain tetapi yang kenyangnya ayam.
Tanpa disedari, beliau menegaskan musuh sedang ketawa sinis melihat pergolakan parti parti yang mendokong kerajaan PN kehilangan arah dan tenggelam dalam keegoan masing-masing dengan saling menuding dan mencari salah sesama umat Islam dan orang melayu.
“Justeru itu, kenapa kita bagaikan hilang panduan dan tidak bertemu meja yang bentuknya bulat untuk kita duduk bersama berbincang bagi merealisasikan kasih kita pada agama dan negara serta seluruh penghuninya yang sedang berdepan dengan COVID-19 ini.
” Pada hemat saya, masih belum terlambat untuk semua kita duduk bersama bagi melunaskan rasa kasih pada agama dan negara ini dengan satu tindakan yang strategik sekaligus menutup semua ruang dan peluang yang bakal dimanfaatkan oleh musuh,” katanya.
Tambah beliau, sikap bertolak ansur, memaafkan dan lapang dada adalah sikap positif yang perlu dimiliki oleh para pemimpin politik umat Islam di negara ini dan tentunya itulah ramuan mujarrab untuk membina keutuhan sebuah perpaduan.
“Pastinya impak perpaduan ummah ini akan turut dirasai kemanisannya oleh masyarakat terbanyak termasuk dari kalangan non muslim.
“Jangan mudah terguris dengan khilaf yang berlaku, jangan benarkan diri terperangkap dalam propaganda pihak yang mahu meruntuhkan perpaduan ummah
“Kita juga tidak mudah terpengaruh dengan provokasi licik pihak musuh yang mahu menguasai kerajaan kita dan negara lalu mereka bertindak pantas atas keretakan dan perpecahan sesama umat Islam.
“Bukankah damai itu indah dan bersatu itu kuat ? Lalu Kenapa kita memilih untuk kelihatan comot dan longlai di hadapan umum dengan mewujudkan pertelingkahan dan mengapi-apikan pertembungan diantara kita,” katanya.