9 OGOS : Peristiwa Hijrah wajar dijiwai semua umat Islam dan ia bukan sekadar mengenang perpindahan Nabi Muhammad SAW secara fizikal, dengan meninggalkan harta dan kediaman semata-mata tetapi juga kepada penghijrahan sikap lebih baik sebagaimana yang dianjurkan Baginda SAW.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saban tahun, peristiwa Hijrah memperteguh tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ajaran Nabi SAW melakukan perubahan sikap dan tindakan kepada sifat-sifat mahmudah.
Justeru, beliau menyeru agar rakyat dan umat Islam perlu memperbetulkan niat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan amalan dalam kehidupan seharian bersesuaian dengan semangat Hijrah dan mencapai hasrat ‘Ummah Berkualiti’ yang menjadi matlamat semua.
“Saya doakan dengan kedatangan tahun baharu Islam ini, Allah SWT mengurniakan ke atas kita semua khususnya umat Islam keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar kita menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dilaksanakan pihak kerajaan dengan dokongan saudara dan saudari.
“Saya juga berdoa agar ujian ini berupaya menjadikan kita umat Islam lebih bertakwa dan mempunyai ketahanan jiwa serta asertif diri yang padu,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, hari ini.
Ucapan Perdana Menteri disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM dan Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan, Majlis sambutan Maal Hijrah adalah cerminan iltizam kerajaan agar syiar Islam terus terpelihara dan dimartabatkan sejajar dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan yang dijunjung tinggi.
Beliau turut berdoa sambutan itu dapat terus dihayati dan disemarakkan umat Islam walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik COVID-19.
“Peristiwa Hijrah memperteguh tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ajaran Nabi Muhammad, melakukan perubahan sikap dan tindakan kepada sifat-sifat mahmudah dan lebih baik sebagaimana dianjurkan Baginda, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH