9 OGOS : Tindakan parti politik yang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum undi percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan pada sidang Parlimen September ini pastinya tidak akan mendapat sokongan rakyat yang mahu kerajaan menangani masalah COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam keadaan negara sekarang, rakyat menaruh keyakinan terhadap kerajaan untuk mengatasi kesan ekonomi berikutan pandemik itu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memaklumkan, tindakan mereka bukan sahaja menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani COVID-19, malah menjejaskan kestabilan politik negara serta ekonomi yang hanya merugikan rakyat.
“Jika ada undi percaya pada September ini, sebaiknya adalah untuk pertahankan kerajaan sekarang (PN) sehingga habis penggal, kemudian barulah diadakan pilihan raya.
“Sarawak satu contoh moral yang baik dari segi politik, tidak main politik banyak sangat. Kita tangani masalah COVID-19 ini terlebih dulu.
“Jika tidak, dengan sendirinya masalah ekonomi kita akan terjejas dan pembangunan akan jadi lembap,” katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan cawangan baru Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat Kuching, hari ini.
Kesemua parti komponen GPS berpendirian untuk mengekalkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut menyeru pemimpin menghentikan segera politiking sehingga keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri menerusi usul undi percaya ditentukan di Persidangan Dewan Rakyat.
GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat kepada krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan negara berdepan ancaman pandemik COVID-19 hanya akan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.