9 OGOS: Tindakan segelintir guru enggan divaksinkan boleh membahayakan nyawa pelajar dan warga sekolah lain apabila sesi persekolahan secara bersemuka kembali dilaksanakan pada September depan.
Justeru, Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim (i- Guru) Mohd Azizee Hasan, berkata Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pendidik Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu menggunakan pendekatan menasihati, merangsang dan memberikan motivasi bagi memastikan semua guru dan warga sekolah divaksinasi, sebelum 1 September ini.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana berdasarkan kenyataan terkini Menteri Pendidikan sehingga kini seramai 352,649 (85.41 peratus) guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Manakala, 94.89 peratus guru kelas peperiksaan dan 46.64 peratus pekerja perkhidmatan sokongan termasuk pekerja kantin, pemandu bas dan pengawal keselamatan di sekolah sudah divaksinasi.
“Jadi di sini masih ada kira-kira 15 peratus guru yang belum mendapat suntikan vaksin lagi. Oleh itu, Saya fikir KPM perlu memastikan semua warga pendidik mendapat suntikan vaksin seberapa segera yang boleh kecuali mereka yang menolak atas sebab yang munasabah.
“KPM, JPN dan PPD perlu memberikan khidmat nasihat kaunseling dan konsultansi taklimat kepada guru berkenaan bagi menjelaskan kebaikan vaksinisasi dari sudut kesihatan dan tuntutan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata KPM dan pihak sekolah juga wajar mengadakan perbincangan dua hala dengan guru bagi memastikan mereka benar-benar faham tujuan sebenar kerajaan menggalakkan rakyat di negara ini mengambil vaksin COVID-19.
Malah, Mohd Azizee berkata tindakan keras seperti menahan gaji atau pangkat pada guru yang enggan mengambil vaksin COVID-19 adalah kurang sesuai.
“Kena dilihat adakah keenggan mereka mengambil vaksin adalah satu tindakan melanggar perintah arahan Pekeliling KPM atau tidak.
“Namun adalah lebih baik KPM melalui JPN dan PPD menggunakan pendekatan menasihati, meransang dan memotivasikan guru untuk divaksin. Jika ada yang tidak mahu mungkin mereka yang tidak divaksin perlu diingatkan kesan dan bahaya tidak divaksin,” katanya.