10 OGOS : Kes kematian COVID-19 mencatatkan penurunan iaitu 201 kes setakat tengahari tadi berbanding semalam iaitu 212 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian itu membabitkan 163 warganegara, manakala 38 lagi merupakan warga asing.
Beliau berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 11,162 kes atau 0.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Daripada 201 kes kematian, 87 daripadanya dicatatkan di Selangor, 37 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 20 kes di Johor, 14 kes di Perak, 12 kes di Sabah, 10 kes di Pulau Pinang,
“Selain itu, lapan kes di Melaka, lima kes di Negeri Sembilan,masing-masing tiga kes di Kedah dan Sarawak, dan dua kes di Terengganu, “katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan kepada 19,991 dan kesemua kes hari ini merupakan kes tempatan.
Beliau berkata, jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) pula ketika ini adalah seramai 1,096 orang termasuk dan 570 yang memerlukan bantuan pernafasan menjadikan kumulatif kes aktif sebanyak 230, 762 kes.
“Daripada 19,991 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 385 kes (1.9 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 19,606 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, hanya 4,632 kes (23.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19,” katanya.
Sementara itu beliau berkata sebanyak 35 kluster baharu dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 29 adalah kluster berkaitan kluster komuniti, 14 kluster di tempat kerja dan satu merupakan kluster berkaitan keagamaan.
“Jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 4,003 dan sebanyak 2,765 kluster telah ditamatkan di samping hanya 1,238 kluster yang masih aktif,”katanya- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH