10 OGOS: Kerajaan digesa menangguhkan kelonggaran sekatan pergerakan kepada individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 sehingga jumlah kes positif COVID-19 menunjukkan penurunan yang ketara.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr M Subramaniam, berkata kerajaan juga perlu menunjukkan saintifik sebelum memberikan sebarang kelonggaran kepada penerima vaksinasi lengkap secara adil.
Beliau berkata, kelonggaran membabitkan rentas negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga perlu berpandukan data terkini, dengan beberapa negeri berkenaan sedang merekodkan peningkatan kes harian COVID-19 dan mungkin kembali menepati kriteria Fasa 1 minggu depan.
“Jika keputusan kelonggaran sekatan pergerakan ini berasaskan sains, mengapa perjalanan rentas negeri hanya dibenarkan kepada individu yang mahu bertemu pasangan dan anak mereka?
“Isunya sama ada benar-benar selamat bagi penerima dos lengkap vaksin melakukan perjalanan rentas negeri atau tidak. Jika selamat, semua penerima dos lengkap vaksin perlu dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri, dan jika tidak selamat, tiada siapa pun wajar diberikan kebenaran itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, kerajaan juga tidak boleh berpandukan jumlah kes harian semata-mata dalam memutuskan kelonggaran itu, sebaliknya perlu meneliti kriteria lebih penting iaitu penggunaan katil hospital dan situasi di unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara.
Katanya, Malaysia mungkin tidak akan mencapai sifar kes COVID-19 dalam waktu terdekat, namun dengan peningkatan jumlah penerima vaksin, jumlah pesakit COVID-19 yang serius akan menunjukkan trend penurunan seawal hujung bulan ini.
“Kami berharap kerajaan akan memaklumkan maklumat terkini kadar positif dan status penggunaan katil dan ICU di setiap negeri kerana ia adalah indikator lebih penting, selain jumlah kes harian.
“MMA juga berharap maklumat terkini berkaitan status vaksinasi bagi kumpulan berisiko tinggi dalam fasa dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Ini kerana sebarang kelonggaran sekatan perlu juga mengambil kira kumpulan berisiko tinggi seperti petugas rumah penjagaan, pekerja kilang dan pembinaan, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan, pelajar perubatan dan pekerja asing tidak berdokumen yang belum divaksin,” katanya.