10 OGOS: UMNO tidak bercadang memecat mana-mana Ahli Parlimennya yang kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menafikan surat penjelasan yang dihantar kepada Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan PN adalah satu ugutan.
Sebaliknya Ahmad yang juga Ahli Parlimen (MP) Pontian, menjelaskan ia hanya sekadar peringatan selepas keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menarik sokongan kepada kerana PN dan Muhyiddin.
“Saya hantar surat kepada mereka atas arahan pucuk pimpinan dan ada mengatakan surat itu ugutan, ia bukan ugutan, sebagai ahli parti kita kena ikut keputusan parti, hormati apa yang diputuskan parti termasuk Perlembagaan UMNO tetapi itu tidak bermakna kita akan pecat mereka,” katanya menerusi soal jawab di NR Channel TV malam tadi.
Ahmad berkata demikian ketika menjelaskan surat yang dihantar kepada Ahli Parlimen Umno yang masih menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Bagaimanapun, Ahmad memberi banyangan mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang dilihat gagal mematuhi arahan parti tempat mereka akan diganti dengan calon lain dalam pilihan raya akan datang.
“Di luar sana ramai menunggu berbaris panjang untuk menggantikan mereka di kawasan masing-masing. Ahli Parlimen yang dilihat tak ikut perintah parti kena ingat yang menunggu berbaris panjang, bukan tak ada tokoh (lain),” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad juga menolak tuduhan kononnya jika menteri yang ada hari ini meletak jawatan ia akan menjejaskan segala perancangan dibuat kerajaan termasuk program vaksinasi dan usaha mendepani COVID-19.
“Kalau menteri tak ada, ketua setiausaha boleh main peranan, kalau menteri tak ada kementerian boleh berjalan. Kadang-kadang penjawat awam lebih dengar cakap ketua setiausaha dari dengar cakap menteri,”katanya.
Dalam pada itu, Ahmad yakin kemelut dalaman UMNO ketika ini akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.
“Keributan antara Ahli Parlimen yang masih bersama kerajaan PN dan yang sudah tarik sokongan khusus dari menyokong Muhyiddin hanya sementara,” katanya.