10 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di 11 lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Pahang, mulai 12 hingga 25 Ogos ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebelas lokaliti dikenakan PKPD di Sabah termasuk di Kuarters Kilang J & L, Jalan Kokol, Kampung Gudon, Manggatal dan Kampung Lobou di Kota Kinabalu; Kampung Menunggui, Kota Belud; Kampung Tengah, Kinarut, Papar; Kampung Petagas, Putatan; Kampung Pogunon, Penampang, Sabah.
Beliau berkata dikenakan PKPD ialah Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau; Kampung Batu 1 Sipitang; Kampung Bukit Kukusan, Tawau; Kampung Batu-Batu, Tenom, Sabah.
“Di Pahang pula PKPD akan dilaksanakan di FELDA Jengka 25, Temerloh, Pahang manakala SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Kerajaan terpaksa melaksakan PKPD di 12 lokaliti berkenaan selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di enam lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah iaitu di Bandar Sierra, Kampung Kalasanan, Kampung Pulau Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia dan
Taman Putera Jaya selama 14 hari lagi mulai 12 hingga 25 Ogos nanti.
Beliau berkata PKPD di FELDA Jengka 7, Maran, Pahang dan PKPD Ladang Kerilla, Tanah Merah, Kelantan pula dilanjutkan 14 hari lagi mulai dari 12 sehingga 25 Ogos 2021.
Hishammuddin yang juga Menteri Luar Negeri juga mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lima lokaliti di Kota Kinabalu, lapan lokaliti di Penampang; empat kawasan di Beaufort; Perumahan Ladang Tinabau, Kinabatangan; tiga lokaliti di Tawau, Sabah.
Katanya, turut ditamatkan ialah PKPD di Kampung Pertanian dan Kampung Separa, Mukim Senai, Kulai dan asrama pekerja tapak Bina Taman Bukit Perdana, Kluang, Johor, mulai esok.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan juga mengarahkan 60 premis perniagaan dan kilang ditutup serta merta selepas didapati melanggar SOP dalam 78,506 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara, semalam.
“Seramai 180 individu pula dikompaun dan 21 direman oleh polis kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar SOP, semalam,” katanya