10 OGOS : Rakyat kini mahukan semua ahli politik bersatu dalam memerangi pandemik COVID-19 dan bukanlah bertindak mencetuskan gangguan politik sehingga memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan.
Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, jika gangguan ini berterusan, kerajaan juga perlu menyelesaikan konflik politik menyebabkan tumpuan sepenuhnya kepada krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik akan terjejas.
Menurut beliau, tidak seharusnya gangguan politik sebegini diwujudkan oleh segelintir wakil rakyat sekiranya mempunyai semangat atau jiwa negarawan di dalam diri mereka.
“Ahli politik yang bertindak dengan mengadakan gangguan politik sekarang ini kelihatan bukan sahaja mereka itu rakus tapi tak bertanggungjawab terhadap kepentingan negara dan gangguan ini akan membawa kesan kepada kegagalan politik dalam negara.
“Jadi, segelintir mereka ini dilihat seperti bertindak zalim ketika rakyat sedang derita serta negara sedang hadapi krisis ekonomi dan tindakan pemimpin itu seperti menahan lukah di pergentingan dan menannguk di air yang keruh. Rakyat sudah bosan dan menyampah dengan semua ini, “katanya kepada PNBBC Portal ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, UMNO membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Keputusan itu menyebabkan dua Menteri UMNO meletakkan jawatan iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam pada itu, Kok Seong turut menggesa agar parti-parti Melayu bergabung kerana kestabilan politik etnik Melayu yang menjadi dominan di negara ini, akan memberi kebaikan kepada kaum lain.
“Perpecahan orang Melayu amat tidak baik buat politik di Malaysia dan memberi kesan kepada negara kerana orang Melayu adalah majoriti dan dominan yang memegang politik di Malaysia. Jadi, tiada gunanya berpecah.
“Semua parti Melayu perlu bersatu dan mencari formula terbaik di mana jika mereka bersatu negara juga akan mencapai kemajuan. Jika berpecah akan berlakunya ketidakstabilan politik di dalam negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap agar Kerajaan perlu memberi kefahaman kepada rakyat dengan lebih meluas tentang bahayanya varian baharu yang menyebabkan kes baharu dan kematian meningkat begitu mendadak.
Menurut beliau, dengan penjelasan tersebut, kerajaan boleh ‘mematikan’ tindakan pembangkang yang sering mempolitikan isu ini sehingga menggelar kerajaan gagal dan ia seharusnya tidak berlaku kerana kesan varian baharu ini dirasai oleh seluruh dunia.
“Jadi, kerajaan perlu lakukan hebahan secara agresif dalam menyampaikan maklumat dan fakta bahawa ia satu varian bahaya yang sedang berlaku di seluruh dunia. Ini bukan makna kita cuci tangan tapi hakikatnya memang kes sedang meningkat disebabkan varian delta.
“Ada yang kata pendidikan kita juga jahanam namun ini jugalah perkara yang sama dihadapi dan dibimbangi di United Kingdom. Jadi, ini merupakan malapetaka terbesar yang dihadapi oleh seluruh dunia. Jadi, apa yang dilakukan itu semua bersifat sekali cuba, kalau gagal buat yang lain dan itu berlaku di seluruh dunia.
“Di negara seperti Israel, Amerika, mahupun Indonesia pun nak banding lagi teruk tetapi tiada rakyat Indonesia salahkan, nak buang Presiden Indonesia, Joko Widodo sebab mereka matang. Kita di Malaysia, rakyat matang namun yang jahat ini adalah ahli- ahli politik tertentu itu,”katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH