10 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan memanggil Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran bagi membantu siasatan kes berkaitan dakwaan kononnya beliau ditawarkan sogokan RM30 juta dan jawatan menteri jika menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pengarahnya Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima kes rujukan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita akan menjalankan siasatan dan akan memanggil YB (Yang Berhormat) Kula (Kulasegaran) untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.
“Selain YB Kula kita akan turut memanggil beberapa pihak lain termasuk Setiausaha Sulitnya, Jeremy Chuah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, portal berita PNBBC melaporkan siasatan kes dakwaan bekas Menteri Sumber Manusia di zaman pemerintahan PH bahawa ada pihak tertentu menawarkan wang tunai RM30 juta dan jawatan menteri jika beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini diserahkan kepada SPRM
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, mengesah pihaknya menyerahkan kes terbabit kepada SPRM kerana dakwaan berkenaan berkaitan dengan kes pemberian rasuah.
Bagaimanapun, Mior Faridalathrash, mengesahkan Polis Perak ada menerima laporan berkaitan kes terbabit dibuat oleh pegawai khas, Ahli Parlimen terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak, semalam.
“Ya. Kita memang ada menerima laporan daripada pegawai khas YB Kulasegaran, semalam, namun siasatan kes sudah kepada SPRM kerana laporan polis dibuat oleh pegawai khas Ahli Parlimen Ipoh Barat berkenaan berkaitan dengan dakwaan rasuah,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC.
Terdahulu, media melaporkan pegawai khas Kulasegeran yang juga bekas Menteri Sumber Manusia iaitu Jeremy Chuah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong Perikatan Nasional (PN) dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menteri.
Sementara itu, Kulasegaran dalam kenyataan terbaharunya hari ini mendesak SPRM supaya segera menyiasat hingga ke peringkat akar umbi ke atas mana-mana pihak yang cuba memberi rasuah kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menegaskan identiti ‘tangan-tangan hitam’ yang melakukan kerja-kerja ini perlu didedahkan dan dikenakan tindakan undang-undang kerana ia boleh merosakkan sistem demokrasi negara.