11 OGOS: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menuntut kos ujian calitan pelajar Sabah dan Sarawak ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaya (UM).
KMUM menegaskan tanggungjawab memberi subsidi sepatutnya dilaksanakan oleh UM dan bukan hanya berdiam diri memeluk tubuh membiarkan kebajikan pelajar dari Sabah dan Sarawak terutama golongan B40 terabai kerana mereka juga adalah sebahagian pelajar UM.
“KPT dan UM perlu bertanggungjawab dalam kegagalan menjaga kebajikan pelajar Sabah dan Sarawak dengan perancangan pergerakan pelajar yang tidak efisien dan membebankan.
“Oleh demikian kami telah mengambil inisiatif untuk menawarkan subsidi kepada pelajar Sarawak dan Sabah yang berkeperluan untuk mengurangkan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Utusan online hari ini.
Menurut KMUM, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan ujian calitan COVID-19 bagi pelajar Sarawak dan Sabah yang ingin pulang ke kampung ditanggung sepenuhnya Kementerian Kesihatan, namun didapati adalah ‘indah khabar daripada rupa’.
Ini kerana mereka mendapati Klinik Kesihatan Pelajar Universiti Malaya tidak menyediakan perkhidmatan ujian Rt-Pcr seperti diwajibkan oleh kerajaan negeri sehingga mereka terpaksa ke hospital kerajaan tertentu.
“Namun, keputusan itu tidak dapat dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan dalam panduan pergerakan iaitu sama ada tiga atau lima hari sebelum tarikh penerbangan.
“Justeru, pelajar Sabah dan Sarawak telah membeli tiket penerbangan hanya boleh menjalani ujian calitan di klinik atau hospital swasta dan menanggung kos tersebut.
“Keadaan tersebut membebankan mereka terutamanya golongan B40 dan M40 kerana mereka perlu menanggung kos tiket penerbangan yang mahal serta kos ujian agar dapat kembali ke rumah masing-masing,” katanya.