11 OGOS : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpandangan adalah tidak wajar Kementerian Pendidikan membuka sesi persekolahan bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka, mulai 1 September ini, berikutan kes semakin membimbangkan.
Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata, NUTP telah menerima maklum balas daripada ibu bapa murid dan guru yang tidak berpuas hati dengan cadangan pembukaan sekolah itu dalam masa terdekat.
Justeru, NUTP merayu pihak KPM menangguhkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka kerana sudah pastinya amai ibu bapa akan memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
“Sesi persekolahan bagi tahun ini juga hanya tinggal tempoh baki 10 minggu sahaja lagi. Kes COVID-19 setiap hari amat tinggi dan mencecah 20,000 kes. Statistik pada hari ini 11 Ogos 2021, jumlah kes positif adalah sebanyak 20,780 kes
“Walaupun kadar vaksinasi 2 dos sudah melebihi 30%, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat kerana setiap hari kadar kematian melebihi 100 – 300 orang.
“Oleh itu, pihak NUTP merayu agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memberi pertimbangan khas demi keselamatan dan kesihatan anak murid serta warga pendidik,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook kesatuan guru tersebut, hari ini.
Justeru, Harry Tan menggesa agar KPM perlu menangguhkan pembukaan persekolahan sehingga ke waktu yang lebih selamat.
“NUTP berharap agar KPM membantu melicinkan proses PdPR dengan memberi kemudahan Internet yang laju dan murah serta memberi bantuan internet percuma kepada keluarga B40.
“Manakala warga pendidik pula diberi pakej internet yang istimewa dan diberi latihan untuk mempertingkat kemahiran guru dalam PdPR,” katanya.
Terdahulu, KPM dalam satu kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini, dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)