11 OGOS : Tindakan Junta Myanmar cuba menahan penunjuk perasaan menyebabkan dua orang maut dan tiga lagi cedera akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di ibu kota komersial Myanmar ketika melarikan diri daripada serangan pasukan keselamatan.
Dalam kejadian tersebut, empat lelaki dan seorang wanita melompat keluar daripada tingkap di bangunan tingkat empat menyebabkan seorang wanita dan seorang lelaki meninggal dunia disebabkan kecederaan akibat terjatuh.
Ketiga-tiga lelaki yang cedera pula telah dibawa ke hospital yang dikendalikan tentera, kata True News, sambil menambah pegawai menjumpai bahan yang digunakan untuk letupan dalam serbuan itu.
Myanmar terus dilanda kekacauan sejak rampasan kuasa tentera pada Februari di mana setakat ini konflik di negara itu telah mengorbankan lebih daripada 900 orang dan lebih daripada 7,000 ditangkap.
Pertempuran itu meluas di Myanmar sejak orang ramai membentuk pasukan pertahanan sendiri untuk memerangi tentera.
Pertempuran sebahagian besarnya berlaku di kawasan luar bandar, meskipun empat penunjuk perasaan dan sekurang-kurangnya dua pegawai tentera terbunuh dalam tembakan yang berlaku di bandar kedua terbesar negara itu, Mandalay, Jun lalu.
Sementara itu, Kumpulan hak asasi dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, beratus-ratus penunjuk perasaan antirampasan kuasa dilaporkan hilang dan dipercayai ditangkap secara besar-besaran serta ancaman seksaan.
Pejabat dan pertubuhan kerajaan yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan junta menjadi sasaran ‘pasukan pertahanan’ itu di kawasan bandar.
Menurut kenyataan Facebook ‘pasukan pertahanan’ itu semalam, satu bom meletup di pejabat Yangon, namun tiada korban jiwa yang dilaporkan.