11 OGOS: Bekas Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Johor Bahru (MBIP) di Johor direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah daripada kontraktor untuk kelulusan pelbagai projek di Johor.
Perintah penahanan reman berkenaan dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, suspek berusia 60 tahun itu yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Johor Bahru, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan bekas Datuk Bandar, MBIP kerana disyaki terbabit dengan kesalahan menerima rasuah.
Hasil siasatan SPRM dipercayai suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP ketika memegang jawatan Datuk Bandar.
Difahamkan suspek kini bertugas sebagai datuk bandar ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan kes berkenaan, kira-kira jam 3 petang semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.