11 OGOS : “Saya terkejut melihat video keadaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons dan PPV Bukit Jalil hari ini yang penuh berpusu-pusu sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).
Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai video yang tular menunjukkan ratusan warga asing yang berpusu-pusu mendapatkan vaksin secara ‘walk in’.
Ahli Parlimen Bera itu menerusi Facebook rasminya menegaskan mereka didakwa gagal mematuhi SOP ditetapkan termasuk penjarakan fizikal.
“Saya harap pihak penguatkuasa dapat memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak seperti ini tidak berulang lagi kerana ianya boleh menyebabkan penularan wabak.
“Saya akan menghubungi kementerian yang berkaitan serta pihak PDRM supaya kejadian ini dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi selama tujuh minit 15 saat yang menunjukkan kesesakan orang ramai di PPV terbabit.
Menurut beliau, dalam hal ini, polis Dang Wangi mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke pusat terbabit bagi mengawal keadaan.
“Hebahan dibuat kepada orang ramai yang hadir supaya membuat penjarakan sosial dan memakai pelitup muka sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan sehingga program vaksinasi selesai,” katanya.
Noor Dellhan berkata, pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan MKN.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran SOP ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya