12 OGOS: Seramai 16,347,422 juta atau 50.1 peratus populasi penduduk di Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, sehingga semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menerusi perkongsian infografik di Twitter, berkata jumlah individu yang lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 di Malaysia kini mencapai 9,516,141 orang sebanyak 29.1 daripada populasi penduduk Malaysia.
Beliau berkata ini bermakna jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 25,863,563 dos, setakat semalam.
Katanya secara keseluruhannya, 69.8 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia divaksinkan dengan 40.7 peratus sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.
“Kadar vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 497,352 dos diberikan semalam dengan 227,506 adalah dos pertama manakala 269,846 adalah dos kedua,” katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitternya hari ini.