12 OGOS: Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, menzahirkan kebimbangan berlaku peningkatan kes COVID-19 di Kelantan susulan beberapa kelonggaran diberikan mulai kelmarin selepas negeri berkenaan memasuki fasa ke-2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Keadaan itu bertambah membimbangkan kata Ahmad kerana hasil tinjauan mendapat rakyat Kelantan kurang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila berada di kawasan tumpuan ramai seperti pasar awam.
Ahmad berkata kelonggaran diberikan kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin untuk makan di kedai dan rentas daerah perlu disertai dengan pematuhan SOP ditetapkan.
“Rakyat Kelantan sepatutnya mengambil peluang kelonggaran diberikan dan bukannya melanggar SOP yang ditetapkan.
“Namun, mengikut maklumat kita terima di pasar awam, kita kurang patuhi SOP. Kita harap rakyat berpeluang ambil kesempatan ini. Untuk peniaga, patuhilah SOP. Sebab, ada kebimbangan. Kita sudah dapat bergerak, jadi kita bimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kebenaran makan di kedai serta rentas daerah dan aktiviti lain bagi individu yang sudah melengkapi dua dos suntikan untuk negeri di bawah Fasa 2 ke atas, mulai 10 Ogos lalu.
Untuk rekod Kelantan berada dalam kategori Fasa 2 bersama Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu dan Sabah.
Bagaimanapun, kes jangkitan kekal tinggi di negeri itu dengan pada Rabu, Kelantan merekodkan angka melebihi 1,250 kes, tertinggi dicatatkan sejak peralihan fasa.
Malah, kadar R-naught atau kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Kelantan juga tertinggi dan melebihi purata kebangsaan apabila berada pada paras 1.40, semalam.
Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut memaklumkan tiga kes varian Delta dikesan setakat ini dengan kesemuanya di daerah Pasir Puteh.