12 OGOS: Kerajaan cadang laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti di Sabah, Kelantan, Pahang dan Sarawak mulai 14 hingga 27 Ogos ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata di Sabah PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti di Keningau iaitu Kilang & Kuarters Pekerja Bumi Timber Sdn. Bhd. Batu 27, Sook dan Perusahaan & Kuarters Pekerja Kosinar Sdn. Bhd., Batu 28, Jalan Sook.
Hishammuddin berkata turut dilaksanakan PKPD ialah di Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu; Kampung Pengiran, Sipitang dan Kampung Wokok Kinuta, Kota Belud, Sabah.
“Di Kelantan pula PKPD akan dilaksanakan di lima lokaliti di Mukim Alor Pasir, Pasir Mas iaitu Kampung Chenerai; Kampung Lubok Kawah, Kampung Pohon Tanjong; Kampung Pak Jak dan Kampung Landar (sebahagian) serta Kampung Kubang Sawa, Tumpat.
“Kerajaan juga akan melaksanakan PKPD di Kampung Bongkok, di Bera dan Kampung Gadak, Daerah Rompin, Pahang serta Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn. Bhd, Mukah, Sarawak berkuatkuasa mulai 14 hingga 27 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Beliau yang juga Menteri Luar Negeri menjelaskan pelaksanaan PKPD dibuat selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di semua kawasan terbabit.
Hishammuddin berkata kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling, Kedah; Apartment Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands, Bentong, Pahang; Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang, Kelantan Kampung Gambaron 2, Telupid, Sabah selama 14 hari lagi, bermula 14 Ogos ini.
Beliau berkata pelanjutan PKPD berkenaan dibuat meneliti kerana meneliti pembentangan oleh KKM mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.