12 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) bagi memperkenalkan semula peranan dan memperbaharui kemampuan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Muhyiddin berkata PERKUKUH merangkumi 20 inisiatif utama bagi mencapai lima hasil utama, iaitu mandat yang lebih jelas bagi setiap GLIC; peningkatan tumpuan terhadap pelaburan untuk pembangunan dan yang menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan baharu dan meningkatkan kesan sosioekonomi.
Beliau berkata kerajaan berharap usaha berkenaan akan menyemarakkan lagi pelaburan di dalam sektor swasta sambil menyelaraskan peranan kerajaan dan agensinya dalam perniagaan; mewujudkan GLIC yang bersiap siaga menghadapi masa hadapan dengan tadbir urus, keupayaan dan strategi terbaik serta memperkukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal.
“PERKUKUH secara asasnya bermula dengan pengikitirafan mandat, struktur pembiayaan dan profil risiko pelbagai GLIC yang terlibat. Khususnya, GLIC akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Dana Kekayaan Negara atau Sovereign Wealth Fund, yang merangkumi entiti seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc.
“Kategori kedua adalah pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran PERKUKUH secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan akan penyeimbangan semula fokus di antara pulangan kewangan dan hasil sosioekonomi dengan keutamaan utama adalah pelaburan modal berhemah melalui pendekatan lebih strategik dan disasarkan ke bidang pertumbuhan baharu.
Katanya, GLIC kategori Pelabur Institusi pula akan mempertahankan mandat untuk memaksimumkan pulangan pencarum, sama ada pesara pada masa depan mahupun mereka yang ingin menunaikan haji, sambil memainkan peranan sinergistik dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
“Ini akan merangkumi pendekatan yang lebih mantap dan lebih berskala besar bagi merangkumi tanggungjawab sosial korporat dan menyokong keutamaan nasional seperti ESG dan pembiayaan pelaburan hijau,” katanya.
Beliau berkata inisiatif PERKUKUH juga akan mewujudkan ekosistem yang memberi manfaat kepada semua pemegang kepentingan dalam ekonomi.
Muhyiddin berkata bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), PERKUKUH akan membolehkan pembinaan portfolio pelaburan dengan pulangan yang mengambil kira faktor risiko dan tadbir urus lebih baik untuk menjamin ketahanan serta prospek pertumbuhan mampan.
“Pendekatan ini secara beransur-ansur mendatangkan pulangan pelaburan lebih baik bagi pendeposit, pemegang saham dan pesara yang menyumbang melalui simpanan mereka,” katanya.
Beliau berkata, bagi manfaat ekonomi secara keseluruhannya, ia akan mewujudkan pembentukan ekonomi berasaskan pengetahuan dan nilai tambah tinggi, yang akan memperkukuhkan prospek pertumbuhan negara serta ketahanan fiskal untuk jangka panjang.
“Yang terakhir dan paling penting, bagi rakyat secara umumnya, akan tercetus penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi, peningkatan pendapatan isi rumah dan pengurangan ketidaksamarataan.
“Kesejahteraan rakyat akan ditingkatkan melalui program perlindungan sosial yang lebih berkesan dan holistik, yang mana kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dengan GLIC serta GLC akan mengukuhkan lagi usaha merapatkan sebarang jurang, menjangkaui keperluan asas disediakan kerajaan,” katanya.