12 OGOS: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan menerima menghadap dan santapan tengah hari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, Johor hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah baginda memanggil Perdana Menteri mengadap bagi mengetahui mengenai perkembangan terkini politik tanah air.
“Saya menjemput beliau (Muhyiddin) untuk santapan tengah hari dan beliau turut mempersembahkan kepada saya mengenai perkembangan negara pada masa sekarang,” titah Sultan Johor menerusi laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir menghadiri persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 pada hari ini dirasmikan oleh Sultan Johor.
Ketika merasmikan Sidang DUN pagi tadi, Sultan Johor menegaskan bahawa baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan negeri sekarang.
Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.
Berikutan itu, baginda mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.
“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.
“Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu-gugat negeri dan kerajaan saya.
“Apabila wabak COVID-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah Sultan Ibrahim.