12 OGOS: Empat individu termasuk dua wanita sanggup menyewa sebuah ambulans swasta dengan harga RM1,300 semata-mata untuk melakukan cubaan rentas negeri.
Namun, taktik mereka terbongkar selepas dihidu oleh anggota polis di Sekatan Jalan Raya Kampung Tanjung Belenggu, Temerloh pada jam 6.15 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketika kejadian, pasukan Polis IPD Temerloh dalam operasi OP COVID telah terserempak dengan sebuah van dalam keadaan mencurigakan di Taman Bahagia dan mendapati beberapa individu berada di bahagian belakang van.
“Semasa lampu siren kecemasan dinyalakan dan beredar menghala ke Jalan Tengku Ismail ambulan tersebut, pihak polis menahan ambulans tersebut di SJR Kampung Tanjung Belengu (Jalan Triang) dengan bantuan petugas SJR.
“Hasil pemeriksaan di dalam ambulan mendapati ada enam penumpang terdiri daripada dua individu bersama sepasang bayi kembar dan dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lima tahun di bahagian belakang ambulan,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusri memberitahu hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen rawatan dan gagal menunjukkan sebarang dokumen pergerakan yang sah.
“Hasil soal siasat awal mendapati mereka menggunakan pemandu ambulans untuk membawa penumpang bersama anak-anak serta ibunya ke kampung halaman di Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan dengan bayaran RM1,300.
“Pihak majikan pemilik ambulans pula hanya mengetahui pergerakan ambulans oleh kakitangan untuk menghantar pesakit ke Gemas, Negeri Sembilan.
“Susulan itu tangkapan dibuat ke atas mereka kerana atas kesalahan gagal mengemukakan sebarang dokumen pergerakan yang sah. Kesemua tangkapan di bawa ke IPD Temerloh untuk tindakan lanjut,” katanya.