13 OGOS : Desakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperbaharui siasatan terhadap asal usul COVID-19 ditolak oleh Beijing dengan mengulangi pendirian pihaknya hanya menyokong usaha ‘saintifik’ berbanding ‘politik’ dalam usaha mengenal pasti bagaimana virus itu tercetus.
WHO semalam mengulangi desakannya agar Beijing berkongsi data mentah daripada kes COVID-19 yang terawal dikesan, bagi memperbaharui siasatan mengenai asal usul wabak itu.
China sekali lagi berdepan dengan tekanan supaya mempertimbangkan siasatan baharu mengenai asal usul pandemik itu yang telah mengorbankan lebih empat juta mangsa serta melumpuhkan ekonomi di seluruh dunia sejak kali pertama dikesan di Wuhan.
Bagaimanapun negara itu menegaskan bahawa siasatan awal sudah mencukupi, malah mendakwa gesaan untuk data lebih lanjut adalah didorong oleh politik dan bukan siasatan saintifik.
Naib Menteri Luar, Ma Zhaoxu menolak cadangan untuk siasatan baharu sambil menegaskan, rumusan dan saranan digariskan dalam laporan bersama itu diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan komuniti saintifik.
Sebelum ini, pada Januari lalu, sepasukan pakar antarabangsa WHO berlepas ke Wuhan sebelum mengeluarkan laporan siasatan fasa pertama yang dihasilkan bersama rakan sejawat di China.
Namun, laporan terbabit gagal menggariskan rumusan konklusif mengenai bagaimana virus itu tercetus.