13 OGOS: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menyokong penuh cadangan kerjasama bipartisan ini agar negara tidak terus-terusan menghadapi kemelut politik yang berpanjangan dan agar kleptokrat tidak lagi mengganggu dan menguasai senario politik tanahair.
Berikutan itu Ketua Penerangannya, Mastura Mohd Darby berkata Srikandi BERSATU tetap menyokong penuh dan tetap berdiri teguh di belakang Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Masa dua bulan bukan masa yang lama yang diminta oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melihat kejayaan memerangi COVID19 dalam Pelan Imunisasi COVID19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan sekarang.
“Perdana Menteri memohon semua pihak untuk membantu Kerajaan dan memberi tumpuan kepada usaha utama memerangi pandemik COVID19 daripada perebutan kuasa yang hanya mengganggu dan mewujudkan ketidakstabilan Negara.
“Cadangan pembentukan kerajaan bipartisan dengan kerjasama pihak pembangkang, adalah satu pengiktirafan terhadap peranan pembangkang untuk sama-sama memulihkan kembali Negara dengan mengambil pendekatan semak dan imbang terhadap insiatif Kerajaan atas konsep ‘whole of nation,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mastura berkata kerajaan kerjasama bipartisan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri adalah sama dengan kerajaan campuran (unity government), yang dapat mengujudkan perpaduan sesama pemimpin dan rakyat, yang selama ini terhalang oleh kewujudan parti-parti politik.
Beliau berkata pengalaman mentadbir, kematangan kepimpinan dan kebersamaan digabungkan atas satu matlamat untuk membangunkan semula Negara dan membantu rakyat bangkit dari kesan peperangan yang begitu getir untuk dihadapi oleh rakyat dari terus berpanjangan.
“Cadangan Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin, jelas terpancar keikhlasan dan keberanian beliau untuk menjalin kerjasama dengan pihak pembangkang, demi rakyat dan negara,” katanya.