13 OGOS: Lebih 250,000 individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat di bawah Program Bantuan Pembayaran CIMB sejak dilancarkan pada 7 Julai lalu.
CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd dalam kenyataan pada semalam menjelaskan, pelanggan diberikan pilihan untuk memilih sama ada pengurangan 50 peratus bagi ansuran bulanan selama enam bulan bagi kemudahan kredit seperti gadai janji, pinjaman/pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan kemudahan kredit kadar berubah.
Pelanggan juga boleh memilih moratorium selama tiga bulan bagi kemudahan sewa beli manakala bagi kad kredit, mereka boleh menukar baki tertunggak kepada pinjaman/pembiayaan berjangka tiga tahun dengan faedah/kadar keuntungan dikurangkan untuk membantu mereka menguruskan hutang dengan lebih baik.
Selain Program Bantuan Pembayaran, CIMB mengulangi bahawa ia tidak akan mengenakan faedah ke atas faedah, atau keuntungan atas keuntungan (faedah/keuntungan terkumpul), atau mana-mana caj penalti faedah/lewat semasa tempoh bantuan.
Pelanggan juga dijamin bahawa sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan menjejaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).
Setakat 11 Ogos 2021 CIMB telah memproses kira-kira 480,000 permohonan bantuan pembayaran kewangan bagi individu serta pelanggan perbankan PKS dan perniagaan, selain ada antaranya yang telah menyambung pembayaran balik bulanan mereka.
Bantuan itu mempunyai kadar kelulusan hampir 100 peratus dan termasuk Program Bantuan Pembayaran semasa, Program Bantuan Bersasar dan Program Bantuan Pembayaran Bersasar Diperluas yang ditawarkan kepada pelanggan pada 2020, namun tidak termasuk moratorium menyeluruh pada Mac 2020.
Hubungi pihak bank atau layari https://www.cimb.com.my/covid19support untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Bantuan Pembayaran.