13 OGOS: Kerajaan mungkin menggunakan gelang digital bagi mengesan pergerakan individu yang menjalani proses kuarantin di rumah, tidak lama lagi
Berikutan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan projek rintis membabitkan pemakaian gelang pengawasan pengesan digital bagi individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah termasuk bagi pengembara yang baharu pulang dari luar negara.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata projek rintis itu dilaksanakan di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley melalui penyumberluaran dengan perolehan sebanyak 30,000 unit alat peranti akan dilaksanakan.
Beliau berkata projek perintis berkenaan membabitkan pemakaian 1,000 unit peranti yang digunakan terhadap pengembara dari luar negara yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah.
“Pengesan digital ini untuk bantu KKM memantau pergerakan individu dari luar negara, kontak rapat atau individu yang mempunyai gejala sementara atau pesakit kategori satu dan dua.
“Pelaksanaan sistem kawalan kualiti ini membolehkan individu dapat dipantau dengan berkesan dengan penguatkuasaan pelanggarannya akan dijalankan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.