13 OGOS: Tidak semua Ahli Parlimen pembangkang yang tidak yang bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan kerajaan campuran bagi membantu pemulihan ekonomi dan memperkasakan usaha bersepadu menangani COVID-19.
Ini terbukti apabila Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr Ong Kian Ming menyambut baik usul Perdana Menteri, untuk membuat reformasi beberapa perkara dalam Perlembagaan.
Justeru, Kian Ming mengajak semua parti politik untuk menyahut seruan tersebut dan duduk berbincang mengenai cadangan yang telah dikemukakan.
“Perdana Menteri telah mengusulkan suatu langkah ke hadapan untuk melakukan reformasi terhadap sejumlah Perlembagaan yang memberi kesan berpanjangan terhadap politik Malaysia jika diluluskan.
“Oleh itu saya berpendapat bahawa semua parti politik sepatutnya duduk untuk berbincang sama ada usul itu boleh diterima atau tidak,” katanya menerusi Twitternya hari ini.
Kian Ming mengulas tujuh tawaran Perdana Menteri kepada blok pembangkang untuk mengembalikan kestabilan politik negara dan menegaskan tidak akan membiarkan kleptokrat kembali menguasai tampuk kuasa.
Tawaran itu dikemukakan dalam pelan kerjasama rentas parti (bi-partisan) yang dikemukakan Muhyiddin bagi mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dan inklusif selepas usul undi percaya diluluskan di Parlimen bulan depan.
Terdahulu media melaporkan Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan akan berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikan Nasional (PN) untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Untuk rekod DAP yang juga anggota Pakatan Harapan (PH) ketika ini mempunyai 42 kerusi di Parlimen dan antara parti yang menentang kuat kerajaan kleptokrat UMNO pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.