13 OGOS: Seorang lelaki yang dikatakan bertindak sebagai ‘orang tengah’ dalam kes rasuah membabitkan seorang Datuk Bandar di Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.
Sumber SPRM berkata, siasatan mendapati suspek bertindak sebagai “orang tengah” bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor sebagai balasan selepas memberikan kelulusan kerja untuk projek dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2020 dan 2019.
Menurut sumber, suspek, adalah seorang pesara berusia 60 tahun, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, kira-kira jam 9 malam tadi.
Difahamkan, kes berkenaan akan disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 (mana-mana lebih tinggi) dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Kelmarin, media melaporkan seorang Datuk Bandar direman tiga hari hingga hari ini bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada kontrak projek di sebuah PBT di Johor.
Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan oleh Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas meneri permohonan SPRM yang dibuat berhubung pegawai kanan kerajaan negeri yang berusia 60 tahun itu.
Terdahulu, SPRM dilaporkan menahan bekas Datuk Bandar Iskandar Puteri pada kira-kira 3 petang di pejabat SPRM Johor, pada Selasa lalu.
Lelaki terbabit yang kini bertugas sebagai Datuk Bandar di sebuah lagi PBT negeri itu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah yang dikatakan berlaku ketika beliau menjawat jawatan sama di PBT lain.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan bawah kendalian PBT sewaktu menjadi Datuk Bandar.