13 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan petugas kesihatan supaya tidak menakutkan-nakutkan golongan ibu hamil berhubung pengambilan vaksin COVID-19.
Dr Noor Hisham berkata, golongan berisiko itu perlu terus disarankan untuk mengambil vaksin yang terbukti berkesan dan selamat bagi mencegah jangkitan virus itu.
“KKM menyeru semua ibu hami daftar dan ambil vaksin sebab pengambilan vaksin ketika hamil adalah terbukti berkesan dan selamat bagi mencegah ibu hamil daripada jangkitan COVID-19.
“Kepada petugas kesihatan yang menakut-nakutkan ibu hamil, kita sarankan perkara ini tidak harus berlaku. Ibu hamil kita panggil ke depan untuk mendapatkan vaksin,” katanya dalam Sidang Media Khas hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata ibu hamil juga perlu diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta kekal berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.
Katanya, sehingga 8 Ogos 2021, seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di MySejahtera untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
“Daripada jumlah itu, 83,251 orang atau 57 peratus telah menerima satu dos vaksin dan 20 peratus ibu hamil telah lengkap dua dos vaksinasi.
“Berdasarkan statistik, 3,396 kes jangkitan COVID-19 melibatkan ibu hamil direkodkan dalam negara sejak Mac 2020.
“Kita anggarkan 200 kes jangkitan sebulan, tetapi ia meningkat lagi pada Mei 2021 kepada 850 kes dan Jun 2021 dengan 899 kes,” katanya.
Beliau berkata ibu hamil yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pula meningkat 3 peratus pada 10 Julai 2021 kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos lalu.
“Tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan pada tahun 2020. Namun, sehingga 9 Ogos 2021, 70 kes kematian ibu hamil dilaporkan.
“Peningkatan kes kematian banyak berlaku sejak Jun 2021 iaitu 17 kes. 47 peratus daripada kematian mempunyai penyakit lain iaitu komobid,” katanya.