MP PAS kekal bersama kerajaan PN
14 OGOS: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan mesej tular kononnya 11 Ahli Parlimen PAS akan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata berita berkenaan adalah palsu kerana PAS masih lagi sebahagian daripada kerajaan PN.
“Berita itu palsu. PAS masih sebahagian daripada kerajaan PN,” katanya dalam jawapan ringkas kepada wartawan portal berita PNBBC sebentar tadi.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengulas khabar angin tular di media sosial kononnya 11 Ahli Parlimen PAS akan menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Sebelum ini ini, PAS menegaskan kesemua 18 Ahli Parlimen parti itu menyokong penuh Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan PN.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dipetik sebagai berkata PAS tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“PAS menganggap isu dibangkitkan oleh individu sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan dan cita-cita peribadi di samping menangguk air keruh ketika kerajaan PN sedang menguruskan masalah COVID-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.
“Dalam hal ini, PAS amat yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan melayan tindakan ‘desprados’ ini, sebaliknya Baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan dan undang-undang berdasarkan Perlembagaan negara.
“PAS turut berharap kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, di samping mengakibatkan terjejasnya sektor ekonomi negara akibat tindakan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.’