14 OGOS: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr. Muhammad Faiz Na’aman, meminta Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhenti berlagak ‘suci’ dan memperlekehkan tawaran dibuat Perdana Menteri, semalam.
Ini kerana Muhammad Faiz berkata, mantan Menteri Belia dan Sukan yang sedang menghadapi pendakwaan kerana “menyakau” wang milik sayap ARMADA Parti BERSATU sebelum keahliannya gugur secara automatik kerana melanggar perlembagaan parti tahun lepas ini gemar memutar-belit fakta.
Syed Saddiq juga diminta menamakan sebelum kerajaan Perikatan Nasional (PN) muncul, kerajaan Malaysia mana yang pernah menawarkan peruntukkan tahunan kepada ahli Parlimen pembangkang setara dengan apa yang diperolehi ahli parlimen penyokong kerajaan.
“Masalah dengan sikap pembangkang yang mengada-ngada ini ialah jika mereka tidak ditolong, maka dituduhnya kerajaan ini zalim, digunanya modal kononnya bantuan untuk rakyat disekat pula, tetapi apabila kerajaan hulur tawaran, dituduhnya pula berhelah.
“Tawaran Perdana Menteri semalam bukan demi kerajaan atau pembangkang, tetapi demi negara dan rakyat yang belum bersedia untuk hadapi PRU dalam waktu terdekat andai kerajaan PN tumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Faiz juga mempersoalkan kenapa sewaktu Syed Saddiq berada dalam barisan kepimpinan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dahulu kenapa tidak bersuara mahu undang-undang lompat parti menjadi salah satu janji dalam manifesto PH untuk menghadapi PRU ke-14 ketika itu?
“Kenapa pula rasa pelik apabila kerajaan PN sekarang menawarkan cadangan tersebut? Sepertimana DAP yang sering melaung-laungkan anti rasuah tetapi hakikatnya bos mereka sendiri pun sedang dibicarakan kerana beli banglo bawah harga pasaran. Pelik tak?
“Lompat parti sebelum ini tidak pernah menjadi isu atau kesalahan dalam undang-undang negara namun apabila ianya memberi kemudaratan kepada pihak yang berkepentingan, maka mulalah ada jeritan mahu ianya diharamkan.
“Hakikatnya lompat parti ini tidak semestinya tanpa restu majoriti pengundi seseorang wakil rakyat itu. Contohnya Datuk Dr Ibrahim Ali di Pasir Mas, Kelantan, berapa kali beliau bertahan walaupun dilihat banyak kali bertukar wadah politik?” tanya Muhammad Faiz lagi.
Beliau juga meminta Syed Saddiq supaya membuat penyelidikan, sudah berapa banyak cadangan dan tuntutan dari pihak pembangkang yang telah ditunaikan oleh kerajaan selama ini.
“Contohnya sebanyak 6,600 cadangan termasuk dari pembangkang telah diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 hujung tahun lepas. Tetapi cadangan kerajaan Pusat untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh (PKP) di Selangor sebelum purata kes harian Covid-19 melepasi 2,000 kes awal-awal dahulu pernah ditolak kerajaan negeri pimpinan PH.
“Persoalan yang wajar dijawab oleh pembangkang seperti Syed Saddiq ini ialah siapa dia calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat jika mahu lihat Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang sekarang?
“Adakah Tun Dr. Mahathir? Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim? Adakah Datuk Seri ZahiBd Hamidi? Adakah Tengku Razaleigh? Atau adakah Datuk Seri Najib kembali? Itu yang majoriti rakyat mahu tahu. Apa jaminan pula jika Yand di-Pertua Agong melantik PM interim maka tiada pertikaian di pihak pembangkang?” katanya.
Muhammad Faiz berkata tawaran Perdana Menteri cukup ringkas dan mudah difahami.
“Di waktu bencana global ini kita menghadapi musuh negara yang sama iaitu Covid-19. Apakah salahnya jika kita BERSATU terlebih dahulu bantu mempersenjatai rakyat kita dengan vaksin bagi menentang wabak itu?
“Apakah salahnya redakan dulu tuntutan gila kuasa berpolitik mahu menjatuhkan kerajaan di waktu rakyat sedang ramai susah dan ekonomi tidak stabil seluruh dunia sekarang ini? Tidak lari lah PRU hendak dikejar. PM telah bertekad mahu PRU selewat-lewatnya Julai tahun depan,” katanya.