15 OGOS: Sebanyak lima lokaliti di Sabah dan masing-masing satu lokaliti di Kelantan, Terengganu dan Perak dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula Selasa ini.
Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Hishammuddin Hussein dalam kenyataan hari ini berkata, lokaliti di Sabah yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD itu yang berakhir pada 30 Ogos ini ialah empat lokaliti di Kota Belud, melibatkan Kampung Mantanau, Kampung Pirasan Ulu, Kampung Suang Punggur dan Kampung Tambulaung, Taman Megah Jaya, Tawau, Sabah (Lorong Megah 2,3, 9, dan 10).
“Lokaliti yang dikenakan PKPD di Terengganu ialah Kampung Bukit Cina, Mukim Pasir Akar, Besut manakala di Kelantan ialah Kampung Lela Jasa, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai serta Tapak Bina ’Spanish Garden’, Kinta di Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, 19 Lokaliti di Mukim Kuala Dungun, Dungun, Terengganu melibatkan Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak Tengah, Kg Molek, Bijangga, Sungai Udang, Sungai Penaga, Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar dilanjutkan PKPD sehingga 20 Ogos ini.
Tambahnya, 14 Lokaliti di Mukim Sura, Dungun, Terengganu melibatkan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, Taman Maidam, Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati dan Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang dan Kampung Tagibang, Kota Marudu, Sabah turut dikenakan pelanjutan PKPD.
Dalam pada itu PKPD di Sabah ditamatkan bermula esok merangkumi Ladang Agathis, Kalabakan; Kampung Bakalau, Beaufort; Kampung Nosoob, Penampang; Perumahan Ladang Hibumas, Sungai- Sungai, Beluran dan Kampung Gusung, Kota Kinabalu manakala di Terengganu ialah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, Jabi, Besut.
Mengenai perkembangan Operasi Pematuhan, Hishammuddin berkata, sebanyak 174 kompaun dikeluarkan dan sembilan lagi direman atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam.
Katanya, selain itu 65 premis membabitkan kilang, tapak perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP.
Tambahnya, seramai 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tiga buah kenderaan darat turut dirampas dalam Operasi Benteng.