15 OGOS: Taliban semakin berkuasa apabila mula memasuki Kabul iaitu ibu negara Afghanistan hari ini.
Kementerian Dalam Negeri negara itu menyatakan kemaraan Taliban itu selepas beberapa jam mereka merampas bandar utama di timur negara itu, Jalalabad, sekali gus menguasai laluan penting menghubungkan Afghanistan dan Pakistan.
Menurut seorang pemimpin Taliban di Doha, yang menjadi lokasi siri rundingan antara kumpulan itu dengan Kerajaan Afghanistan berkata, pejuangnya diarahkan untuk mengelakkan keganasan dan memberi laluan kepada mana-mana individu yang mahu meninggalkan Kabul.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kerajaan pimpinan Presiden Ashraf Ghani akan mengambil tindakan balas atau menyerah.
Sebelum ini, AFP melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, sudah mengarahkan lebih ramai tentera bagi membantu operasi pemindahan keluar pegawai AS dan sekutunya selepas Taliban menawan bandar Mazar-i-Sharif serta semakin hampir menakluki Kabul.
Ia selepas penduduk mengesahkan kejatuhan bandar Mazar-i-Sharif yang sebelum ini kubu anti-Taliban.
Ghani yang berdepan kepungan musuh, ketika menyampaikan ucapan kepada penduduk negara itu, sebelum ini berikrar untuk menghentikan pertumpahan darah meskipun pasukan pertahanan kerajaan mengalami kekalahan sejak 10 hari lalu.
Beliau bagaimanapun tidak memberi petunjuk dalam ucapannya sama ada akan bertanggungjawab ke atas kejatuhan pasukan tentera atau mengundurkan diri.
Secara efektifnya, Kabul menjadi satu-satu kubu terakhir untuk pasukan pertahanan kerajaan dan tidak atau mempunyai sedikit keupayaan di kawasan lain.
Kumpulan pemberontak sebelum ini bertindak mendirikan kem kira-kira 50 kilometer (km) dari ibu negara Afghanistan itu.
AS dan negara lain pula sedang bergegas untuk memindahkan rakyat mereka dengan selamat kerana bimbang berlaku serangan. – AGENSI