15 OGOS: Sebanyak 77 daripada 274 kes kematian akibat COVID19 dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini membabitkan kes pesakit meninggal dunia secara mengejut di luar hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan 247 kes kematian hari ini jumlah pesakit COVID-19 meninggal dunia di Malaysia kini mencecah 12,784 kes atau 0.89 peratus daripada lebih 1.4 juta kes dilaporkan.
Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan jumlah kes positif harian COVID-19 di Malaysia menurun ke angka bawah 20,000 kes dengan 19,740 kes dilaporkan hari ini berbanding semalam, 20,547 kes sekali gus menjadikan kumulatifnya 1,424,639 kes.
“Sebanyak 249,277 kes COVID-19 dikesan masih aktif dengan 1,047 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 520 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 5,706 kes diikuti Sabah (1,728), Kedah (1,592), Sarawak (1,566), Johor (1,510), Kuala Lumpur (1,360) dan Melaka (1,120),” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham mengesahkan empat negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Perak (938), Terengganu (688), Pahang (646) dan Negeri Sembilan (343).
“Satu wilayah dan satu negeri merekodkan kes dua angka iaitu Putrajaya (43) dan Perlis (20) manakala hanya Labuan, mencatatkan dua kes,” katanya.