16 OGOS: Dua anggota polis trafik dan orang awam dianggap wira oleh warganet apabila sanggup membahayakan nyawa mereka bagi menyelamatkan tiga beranak daripada dihanyutkan arus deras setelah paras air tiba-tiba naik ketika memancing di Sungai Klang, di Jalan Kinabalu, di ibu negara petang semalam.
Kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua anggota dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang bertugas berhampiran dan dimaklumkan orang awam bahawa seorang lelaki, isteri dan anak perempuan mereka terperangkap dalam Sungai Klang yang sedang dinaiki air akibat hujan lebat.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh, berkata dua anggota berkenaan kemudian bergegas ke lokasi dan turun ke tebing sungai dengan hanya berpaut pada jeriji serta tembok batu bagi menyelamatkan mangsa.
“Tiga beranak itu berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Mangsa memberitahu, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang memancing ikan di tepi sungai dalam keadaan hujan lebat dan secara tiba-tiba air naik tanpa mereka sedari,” katanya dalam satu kenyataan kepada Berita Harian hari ini.
Beliau berkata, video dua anggota terbabit membantu mangsa tular di media sosial, berkemungkinan dikongsikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Berdasarkan video dan gambar yang tular itu, dua anggota polis trafik, Hafizul Khalis Anuar dan Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah, tidak memikirkan keselamatan diri mereka, sebaliknya berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam air sungai.