16 OGOS : Perkhidmatan Awam negara tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara, sebaliknya terus menggalas amanah dipertanggungjawabkan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia berikutan kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada.
Katanya, beliau melihat dan merasai sendiri bagaimana komitmen dan dedikasi pelbagai pihak terutama penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam memastikan usaha kerajaan membendung serta melandaikan keluk jangkitan COVID-19 yang diharungi bersama lebih setahun lalu.
“Penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
“Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa Perkhidmatan Awam sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa Kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Zuki memaklumkan
perkhidmatan Awam komited mendukung konsep neutrality dan government of the day berlandaskan rule of law.
Menurut beliau, jentera Kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik
kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar.
“Pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa.
“Anggota keselamatan terutamanya PDRM dan ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
“Segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan pandemik COVID-19,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu perkhidmatan awam telah mengemudi pelayaran yang penuh liku dalam pelbagai konflik dan situasi yang mencabar.
“Layarnya perlu selari dengan tiupan bayu, dikemudi cekap dan arahnya menepati destinasi yang hendak dilabuhkan.
“Walau apa pun gelora dan badai yang melanda, pelayaran ini akan kami teruskan bagi melaksanakan tanggungjawab demi Negara yang kita cintai ini,” katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH