16 OGOS: Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan seorang bekas Datuk Bandar daripada tahanan reman hari ini.
Majistret Normadiana Mamat membuat keputusan berkenaan selepas permohonan dibuat peguam, Omar Kutty dan Hazza Khalid.
Majistret memerintahkan pembebasan itu dengan syarat membayar jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin.
Selain itu, suspek berusia 60 tahun itu diperintahkan hadir melapor diri pada tarikh yang ditetapkan ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan.
Media sebelum ini melaporkan bekas Datuk Bandar itu direman tiga hari dan dilanjutkan empat hari lagi sehingga semalam bagi siasatan kes rasuah.
Hasil siasatan awal yang dijalankan SPRM, mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian sebuah PBT sewaktu beliau menjadi Datuk Bandar di majlis bandar raya berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.