16 OGOS: Tempat kerja terus menjadi ‘lubuk’ penularan COVID-19 selepas 21 daripada 35 kluster baharu wabak berkenaan dilaporkan Kementerian Kesihatan hari ini membabitkan tempat kerja terutama kilang dan tapak pembinaan.
11 lagi kluster dikesan KKM adalah membabitkan komuniti, manakala dua membabitkan kumpulan berisiko tinggi dan satu lagi kluster pendidikan tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kluster baharu berkenaan dikesan di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Perak, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata dengan pertambahan itu jumlah kluster kes COVID-19 dikesan sejak kes pertama wabak berkenaan dicatatkan di Malaysia pada 24 Februari 2020 kini menjadi 4,218 kluster termasuk 2,879 kluster telah tamat dan 1,339 kluster masih aktif.
“Daripada 19,740 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 298 kes (1.5 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 19,442 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, 16,805 kes (85.1 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi. Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan COVID-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham mengesahkan berdasarkan data terkini pada 15 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.05. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.29), diikuti oleh Kelantan (nilai RT 1.19), dan Sabah ( nilai RT 1.16).
“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya.