16 OGOS: Pembukaan semula sektor automotif bermula hari ini dapat mengehadkan kerugian melebihi RM14 bilion yang ditanggung industri itu dalam tempoh Jun dan Julai lalu.
Industri automotif tempatan mengalami kerugian besar sejak kilang pengeluaran kenderaan bermotor, pusat pengedaran dan pusat penjualan terutama di Lembah Klang dihentikan sejak 1 Jun 2021.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata penutupan itu tidak hanya mempengaruhi syarikat automotif tetapi memberi kesan lebih luas terhadap keseluruhan ekosistem automotif di seluruh negara.
“Penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor bagi tempoh dua setengah bulan terakhir terjejas teruk susulan pelaksanaan sekatan pergerakan.
“Berdasarkan statistik terkini MAA, jualan bagi tempoh Jun dan Julai, masing-masing 1,921 dan 7,086 unit sahaja.
“Yang paling teruk terjejas ialah ahli MAA yang memiliki pusat pengedaran lebih kecil yang pendapatannya hanya bergantung kepada jualan kenderaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, MAA memiliki sekitar 1,300 ahli di seluruh negara.
“MAA mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di atas pengumuman pembukaan semula beberapa aktiviti ekonomi termasuk penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor di negeri yang kini berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Adalah sangat melegakan apabila kerajaan membenarkan kami memulakan semula operasi,” katanya.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran operasi untuk 11 aktiviti ekonomi bagi negeri Fasa 1 PPN dalam sektor perdagangan dan pengedaran, berkuat kuasa hari ini.
Perdana Menteri berkata, 11 kegiatan ekonomi sektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi di negeri Fasa 1 ialah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barang rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.
Selain itu, katanya, turut dibenarkan beroperasi ialah kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).