16 OGOS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara adalah terkawal berdasarkan situasi politik semasa.
Justeru, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, orang ramai diminta untuk tidak gusar dan membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara ini.
“PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat serta meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.
“PDRM juga akan memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Pada masa sama, Acryl Sani turut menyeru masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Rakyat perlu sentiasa mematuhi SOP dalam mejalani kehidupan harian sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak COVID-19,”katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH