16 OGOS : UMNO bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jika Seri Paduka Baginda berkenan memanggil untuk mendapat pandangan ketua-ketua parti.
Perkara itu disahkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persediaan ini diambil susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu segala kemungkinan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
“Kita tunggu kalau Yang di-Pertuan Agong panggil ketua-ketua parti, kita akan pergi,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat Biro Politik Umno di bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, ditanya hasil perbincangan tersebut, Mohamed Khaled tidak mahu mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut.
“Ia meliputi pelbagai perkara berkenaan isu yang perlu dibincangkan oleh Biro Politik UMNO,” katanya.